Isnin, 10 September 2012

Lelaki tertua di Malaysia meninggal dunia

BESUT: Lelaki tertua di Malaysia, Abdul Rahman Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Pak Man yang dipercayai berusia 117 tahun meninggal dunia di rumahnya di Kampung Denger, Bukit Puteri dekat sini, semalam.

Beliau meninggal di pangkuan isterinya yang kelapan, Saadiah Hamat, 71, dan seorang daripada anak mereka Mohamad Deraman, 56.
Anaknya, Arina Abdul Rahman, 46, seorang guru berkata, bapanya meninggal kerana sakit tua selepas tidak berselera untuk makan dan minum sejak dua bulan lalu.

"Ayah sebelum ini sihat tetapi mengadu tidak selera untuk makan, pada pertengahan bulan puasa lalu, menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan ibadah puasa," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Abdul Rahman yang pernah menerima anugerah dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sebagai Ikon Warga Tua Sihat, dipercayai lahir pada tahun 1895 namun pada kad pengenalannya tercatat tarikh lahirnya sebagai 20 Julai 1907.

Hasil dari lapan perkahwinannya, Allahyarham dikurniakan lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan, di samping 25 orang cucu, enam cicit dan empat piut.

Pak Man yang pernah bekerja sebagai tukang rumah, pernah memberitahu untuk menjaga kesihatan, beliau tidak mengambil makanan manis, masin dan berkolesterol. Malah beliau tidak meminum air batu dan merokok.
Makanan yang diambilnya lebih banyak berasaskan sayur. Sepanjang usianya, beliau dikatakan tidak pernah mengidap kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung.

Allahyarham juga tidak bertongkat atau bercermin mata untuk membaca al-Quran.

Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Denger sebelum solat Zohor, hari ini. - BERNAMA
 
sumber dari www.bharian.com.my
 

Tiada ulasan: