Mayat bongkok bawah katil
HULU LANGAT - Mayat seorang warga emas ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila berada dalam keadaan membongkok di bawah katil dipercayai cuba menyelamatkan diri sebaik rumahnya di Kilometer 25.7, Dusun Tua, Hulu Langat di sini terbakar kelmarin.
Mayat Mohd. Ali Hassan, 67, ditemui dalam keadaan sedemikian di bawah katil yang terletak di ruang tamu rumahnya sebaik kebakaran pukul 10.30 malam itu dapat dipadamkan sepasukan anggota bomba.
Jurucakap polis memberitahu, mangsa bersendirian ketika kebakaran berlaku dan jiran tidak sempat menghulurkan bantuan kerana api marak dengan cepat.
"Terdapat saksi yang ditemui memberitahu, dia terdengar seperti bunyi litar pintas di rumah mangsa tetapi sebaik pergi, dia melihat api telah marak dan gagal menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, mangsa sepatutnya tinggal bersama anaknya di Puchong sejak mengalami masalah kesihatan tetapi pada hari kejadian dia beriya-iya hendak pulang dan tinggal di rumahnya di Hulu Langat.
Menurut jurucakap itu, anak mangsa menghalangnya untuk pulang tetapi tanpa diduga mangsa telah mengambil teksi untuk pergi dan bermalam bersendirian di situ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, jenazah Mohd. Ali dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
sumber http://www.kosmo.com.my/
1 ulasan:
Nauzubillahi minzalik...
Catat Ulasan