Khamis, 15 Mac 2012

Kenali Rambut Anda

Ketahui Kebenaran Demi Makhkotamu
Rambut merupakan mahkota buat setiap wanita. Tidak kiralah kerinting mahupun lurus, pendek mahupun panjang, penampilan seseorang pasti lebih menarik apabila memiliki rambut yang cantik dan sihat.
Namun dalam usaha memperoleh rambut sihat ini, sering kali terdengar tentang info-info yang mengelirukan, entah betul atau sekadar cakap-cakap kosong. Antaranya seperti di bawah ini :


1. Rambut tebal jika kerap dipotong
Ramai beranggapan, rambut akan tumbuh lebih cepat dan tebal jika sering dipotong.
Buat pengetahuan anda, akar rambut tumbuh di dalam kulit. Memotong rambut lebih kerap membantu memperbaiki folikel rambut terutama bagi yang menghadapi masalah rambut bercabang. Pun begitu, kerap memotong rambut tidak bermakna rambut akan tumbuh lebih cepat atau tebal.

2. Mewarnakan buat rambut mudah bercabang
Rambut bercabang disebabkan kebiasaan merawat rambut dengan cara yang kurang tepat. Selain itu kurangnya penjagaan yang sesuai dan tepat menyebabkan rambut mudah rosak. Salah satu tanda rambut rosak adalah bercabang pada hujungnya.
Meskipun sudah banyak produk perawatan rambut bercabang diperkenal di pasaran, namun tidak semestinya ia benar-benar berkesan dan sesuai untuk rambut seseorang.
Justeru, bagi yang mengelakkannya, cara yang paling efektif adalah dengan memotong atau merapikan bahagian rambut yang bercabang.

3. Bersih rambut setiap hari punca rambut kering
Tidak ada peraturan tentang berapa kerap sepatutnya anda bersyampu mencuci rambut, sebaliknya ia bergantung kepada beberapa faktor. Sebagai contoh, andai anda memiliki kulit kepala dan rambut jenis kering, jika anda membersihkan setiap hari maka itu membuatkan rambut menjadi kering, kecuali jika anda menggunakan perapi selepas mencuci.
Sebaliknya, seseorang dengan rambut berminyak, tiada masalah jika sering membersihkan rambut. Begitu juga dengan mereka yang gemar bersenam setiap hari. Rambut perlu dibersihkan lebih kerap kerana ketika bersenam, tubuh termasuk kulit kepala akan mengeluarkan lebih banyak peluh sehingga kulit kepala dan rambut akan lembap.
Oleh itu, bukan kekerapan membersihkan rambut yang menjadi persoalan, sebaliknya jenis rambut dan aktiviti yang dilakukan merupakan faktor utama kenapa rambut perlu dibersihkan.

4. Rambut berubah warna kerana syampu
Syampu merupakan pencuci yang diformulasi untuk membersihkan rambut dan kulit kepala. Menggunakan sabun setiap hari tidak akan mengubah warna kulit kepada warna kelabu, begitu juga dengan penggunaan syampu - tidak akan membuat rambut bertukar kepada warna kelabu.
Punca rambut berubah warna mungkin disebabkan oleh faktor genetik, hormon, dan pengambilan zat yang tidak seimbang. Misalnya, disebabkan oleh kekurangan vitamin. Penggunaan syampu juga bukan bermakna rambut anda kekal sihat sentiasa.
Rambut merupakan unsur mati, zat yang dihasilkan oleh rambut disebut keratin. Syampu berfungsi hanya untuk membersihkan rambut dan kulit kepala semata-mata. Ia tidak ada kaitan secara langsung dengan sistem imunisasi tubuh.
Jika anda sudah menemui syampu yang sesuai dengan kulit kepala dan rambut, sebaiknya kekalkan ia dan tidak perlu untuk bertukar-tukar semata-mata mahukan kelainan.

5. Penggunaan perapi tidak berkesan
Kebanyakan perapi yang disapu pada rambut akan dicuci semula hingga ada beranggapan ia tidak mendatangkan sebarang kesan kerana dibersihkan. Perapi bertujuan menjadikan rambut lebih lembut dan mudah diatur.
Kebanyakan perapi digunakan setelah selesai mencuci rambut dengan syampu. Selepas beberapa minit dibiarkan pada rambut, perapi akan dibilas, namun dalam tempoh tersebut, ia sudah berfungsi secara optimum. Ini kerana fungsinya membantu membuatkan rambut lebih mudah diatur, lebih bersinar dan lembut sudah tercapai.

6. Uban tumbuh lebih banyak jika dicabut
Ramai beranggapan, apabila mencabut rambut yang beruban, maka ia akan menyebabkan lebih banyak uban yang akan tumbuh. Ini sama sekali tidak benar memandangkan setiap rambut memiliki satu folikel. Mencabut satu helai rambut tidak akan mempengaruhi lainnya. Jadi, apabila anda melihat rambut beruban, jangan takut untuk mencabutnya.

7. Tidur dengan rambut basah penyebab kelemumur
Keadaan yang memudahkan kelemumur tumbuh adalah lembap, berminyak dan panas. Ada beranggapan, tidur dengan rambut baru disyampu dan masih lembap akan menyebabkan kelemumur.
Masalah pada rambut disebabkan diri tidak mementingkan kesihatan dan penjagaan rambut iaitu tidak membersihkan rambut selama berhari hari. Ini akan menyebabkan keadaan kulit kepala menjadi berminyak akibat timbunan minyak yang tidak dibersihkan selama berhari-hari sehingga menimbulkan masalah kelemumur dan sebagainya lagi.

8. Produk penjagaan rambut di spa sama seperti di pasaran
Produk penjagaan rambut di salun kecantikan rambut dihasilkan secara khusus untuk memenuhi keperluan pengguna. Sebagai contoh, salun menyediakan produk khusus untuk merawat rambut berwarna.
Seperti penambahan ekstra serum pada produk dan juga perapi. Manakala produk syampu yang biasa di pasaran adalah untuk kegunaan umum dan tidak terhad untuk tujuan tertentu. Justeru, tidak benar andai dikatakan produk syampu di salun sama bahan dan fungsi seperti mana syampu biasa di pasaran.

9. Produk dengan label semula jadi bebas bahan kimia
Sebetulnya, apa yang dimaksudkan dengan penggunaan bahan semula jadi adalah bahan tersebut biasa anda guna ketika di dapur atau ada di kebun. Label yang ada pada sesuatu produk kononnya menggunakan bahan semula jadi adalah semata-mata untuk menarik perhatian. Di dalam syampu misalnya, tetap memerlukan pewarna, bahan pencuci dan sebagainya dan yang pasti ia bukan bahan semula jadi.

10. Rambut nipis lebih mudah rosak
Rambut rosak sebenarnya disebabkan oleh cara menyisir yang salah dan bukannya atas sebab tipis atau tebalnya rambut. Bahkan, penggunaan sikat yang tidak sesuai atau terlalu kasar ketika menyisir rambut juga boleh menyebabkan rambut bercabang dan lebih serius lagi ia akan mengalami kerosakan.
Menyisir dengan cara yang salah, terutama pada bahagian rambut yang tipis akan menyebabkan rambut lebih mudah rosak. Tetapi, jika anda menyisir rambut mengikut kaedah yang tepat iaitu dengan cara yang lembut, maka rambut tidak mudah rosak.


2 ulasan:

inazamri berkata... JOM Reply

eh rambutku sudah ada uban sikit2..hihihi.

salmizah berkata... JOM Reply

rambutkan mahkota kita..perlu dijada dan dibelai jugak...