Pada anda solekan yang ditampilkan sudah cantik tapi mengapa ada mata-mata yang memandang sambil berbisik serta ketawa kecil saat melihat penampilan anda. Umpama ada yang tidak kena.
Meskipun dilihat sempurna namun sebenarnya ada perkara kecil dalam solekan yang mampu menjejaskan kecantikan anda. Lihat beberapa masalah tersebut dan cara mengatasinya
1. Gigi berlipstik
Ketika memakai lipstik anda mungkin tidak perasan ada sedikit lipstik yang terlekat pada gigi. Pastikan anda tidak merosakkan senyuman anda yang menawan dengan masalah tersebut.
Bagi mengatasinya, sapukan lipstik pada bibir terlebih dahulu. Kemudian buang lebihan lipstik dengan menggunakan kertas minyak. Ambil selembar tisu dan sapukan pula ke sepanjang permukaan gigi untuk menghilangkan bekas lipstik yang mungkin melekat pada gigi anda. Setelah itu, oleskan sedikit pengilat bibir untuk menampakkan bibir anda lebih menyerlah dan bersinar.
2. Mata terlalu gelap
Solekan untuk mata dengan gaya smoky eye memang menjadi pilihan mereka yang ingin kelihatan lebih seksi terutama ketika menghadiri majlis di malam hari. Tapi, solekan mata terlalu gelap atau berat boleh menyebabkan mata nampak kecil atau sepet. Sebenarnya hitam bukan satu-satunya warna yang boleh dipilih untuk mengaplikasikan gaya ini.
Anda boleh cuba menggunakan warna-warna kelabu terutama yang berkilat dan boleh menciptakan kesan yang sama seksinya tanpa membuat mata mengecil. Kaedahnya mudah sahaja, gariskan nipis-nipis pada tepi atas dan bawah bulu mata dengan eyeliner hitam. Kemudian, sapukan pembayang mata kelabu pada kelopak mata.
Selepas itu sapukan pula pembayang mata itu di atas eyeliner untuk mencerahkannya. Ratakan warna tersebut dan sapukan pembayang mata putih pada sudut di bahagian dalam mata dan tepat di atas iris untuk membuat mata lebih bercahaya.
3. Kulit berkilat
Terik mentari atau ruang panas dan pengap boleh membuat kulit wajah mengeluarkan minyak berlebihan. Agar muka tidak terlihat licin dan berkilat, lakukan kaedah ini. Sapukan pelembap yang bebas minyak pada wajah.
Kemudian sapu rata bedak jenis serbuk. Bagi menambah solekan yang sudah semakin luntur, pastikan anda membuang lebihan minyak dengan menggunakan kertas minyak untuk menyerap kelebihan minyak di wajah. Tekan-tekan kertas minyak ke atas permukaan kulit agar tidak merosakkan solekan yang sedia ada.
4. Lingkaran putih kelopak mata
Kurang tidur boleh menyebabkan timbulnya lingkaran hitam di sekitar mata atau lebam di bawah mata. Untuk mengatasi masalah tersebut, anda boleh menggunakan concealer. Namun, pastikan anda memilih warna concealer yang sesuai dan tidak berlebihan. Jika tidak, ia akan menyebabkan timbulnya lingkaran putih di sekeliling mata. Pastikan juga concealer tidak lebih dari satu warna atau lebih terang daripada bedak asas atau warna kulit.
sumber dari Majalah Mingguan Wanita