Kelainan menikmati burger saiz super
Apatah lagi, burger merupakan salah satu hidangan yang menjadi pilihan penggemar makanan segera di negara ini.
Lazimnya, burger gergasi yang mencecah lebih tiga kilogram (kg) sebelum ini hanya dapat ditonton melalui kaca televisyen berdasarkan cerita dari luar negara ataupun Internet.
Ternyata, idea hidangan seumpama itu telah mencetus kreativiti beberapa pengusaha burger di negara ini.
Kini, penggemar makanan tempatan boleh menikmati burger gergasi di gerai burger YB yang terletak di Kompleks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Burger gergasi buatan sendiri Abu Yazid Abdul Kadir, 32, itu menawarkan tiga pilihan saiz dan pelbagai jenis roti kepada penggemar burger yang inginkan sesuatu yang baharu.
Berbekalkan pengalaman selama hampir 14 tahun dalam bidang perniagaan burger, Abu Yazid berkata, pengenalan burger YB, iaitu singkatan untuk 'yang besar' adalah untuk mencipta kelainan kepada penggemar burger di negara ini.
"Sungguhpun pengenalan burger YB baru mencecah usia sebulan, permintaan terhadap burger berkenaan berjaya mencuri tumpuan orang ramai.
"Ia sesuatu yang di luar dugaan kerana saya tidak menjangka sama sekali burger besar ini akan mendapat permintaan tinggi," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.
Pada mulanya, perasaan ragu-ragu menyelubungi pemilik burger YB itu memandangkan pembuatannya disasarkan untuk para tetamu jamuan hari jadi ataupun majlis korporat sahaja.
Lebih melucukan, terdapat segelintir pihak yang meragui kesahihan saiz burger berkenaan apabila gambarnya dimuat turun di laman blog. Bahkan, ada yang mengatakan ia adalah hasil kesan penyuntingan imej.
Bagaimanapun, anak jati Perak itu tidak pernah mengenal erti putus asa, sebaliknya terus berupaya menarik nafas lega apabila burger gergasi mula mendapat permintaan tinggi selepas beberapa minggu beroperasi.
|
"Saya perlu memastikan tempahan awal dilakukan terlebih dahulu oleh para pelanggan agar permintaan mereka dapat dipenuhi.
"Kualiti dan kesegaran dalam penyediaan burger YB amat dititikberatkan. Ia perlu dilakukan demi memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan," katanya.
Aneka sos, roti dan patti
Abu Yazid menjelaskan, pelanggan-pelanggan boleh memilih tiga variasi berat patti daging. Mereka boleh memilih patti daging burger seberat satu kilogram (kg), 500 gram (g) atau 250g.
"Patti daging burger yang seberat sekilogram sesuai dimakan sehingga lapan orang, 500g pula untuk empat orang manakala 250g sesuai bagi pasangan.
"Kalau larat, boleh habiskan burger seberat sekilogram tersebut seorang diri," katanya berseloroh.
Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih salah satu daripada tiga perisa daging patti iaitu lada hitam, cendawan, tom yam dan BBQ (barbeku).
"Pelanggan boleh memilih roti oregano, bawang putih, oat madu ataupun roti mil penuh mengikut selera masing-masing.
"Mengikut selera masing-masing, kami memberi pilihan sayur-sayuran untuk disertakan dalam burger YB iaitu salad, bawang, tomato, timun, kobis dan lobak merah," ujarnya yang sedang mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam.
Semua pilihan itu disempurnakan dengan aneka jenis sos tambahan dan buah-buahan termasuk lada hitam, cendawan, jalapeno, epal, nanas, serta zaitun.
Proses
Abu Yazid memberitahu, demi memastikan kesegaran, bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan patti daging, roti dan sayur-sayuran akan dibeli setiap hari mengikut tempahan.
"Pada awal pagi, saya akan ke pasar untuk membeli bahan-bahan mentah. Sekitar pukul 9 pagi, rutin harian mengisar patti daging dan mengadun bahan-bahan membuat roti akan dimulakan sebelum membuka perniagaan pada pukul 5 petang," ujarnya.
Mengimbas kembali tujuan dia membikin patti daging dan roti buatan sendiri, dia memberitahu, ia lebih segar malah enak apabila dimakan.
"Bahkan, saya telah melakukan kerja penyelidikan dan pembangunan terhadap pembikinan roti selama hampir empat bulan untuk memastikan ia lembut dan segar.
"Tidak ramai yang membuat roti burger sendiri apatah lagi apabila menghidangkan burger bersaiz besar kepada pelanggan-pelanggan," ujarnya.
Selain patti daging dan roti yang dibuat sendiri, Abu Yazid menambah, sos seperti lada hitam dan cendawannya merupakan resipi sendiri.
Terangnya, dia banyak menggunakan kaedah cuba-cuba dalam mengecapi kesempurnaan pembikinan produk buatan sendiri.
Tempahan dalam talian
Abu Yazid yang pernah mengikuti kursus pemprosesan daging Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada tahun 2011, memberitahu, dia menggalakkan para pelanggannya membuat tempahan sehari lebih awal sebelum datang ke gerainya.
Untuk tujuan itu, pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman blog yazidburger.blogspot.com.
"Ini bagi memudahkan saya membuat persiapan bahan-bahan patti daging dan roti dengan kuantiti yang mencukupi.
"Ia juga dapat memastikan penggemar makanan segera ini tidak berasa hampa apabila mengunjungi kedai untuk menikmati burger YB," ujarnya.
Walaupun masih baru diperkenalkan, dia memberitahu, burger YB sudah menerima kunjungan pelanggan dari segenap negeri di Malaysia.
Justeru itu, dia berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi resipi buatan sendiri untuk membawa keceriaan kepada pelanggan-pelanggannya.
Teruja
Sementara itu, seorang pelanggan burger YB, Mohd. Izham Mukhari, 27, mengakui, dia sangat teruja apabila kali pertama melihat burger besar tersebut.
"Kali pertama melihatnya, perasaan membuak-buak untuk merasainya. Ia sama sekali tidak menghampakan kerana apabila mengunyah, kita boleh merasai campuran rempah ratus yang sebati dalam burger berkenaan," katanya yang mencuba burger seberat 500g.
Izyani Zahari, 29, pula memberitahu, keenakan burger berkenaan bukan sahaja terletak pada patti malah rotinya.
"Tekstur roti sangat gebu dan lembut apatah lagi apabila kita menikmati bersama dengan daging burger serta sayur-sayuran.
"Dalam pada itu, ia amat sesuai untuk dinikmati secara beramai-ramai bersama keluarga dan kawan-kawan," kata pekerja swasta itu lagi.
Bagi seorang lagi penggemar burger YB, Norly Azman, 23, dia dapat merasai kelainan pada daging burger dan roti apabila menikmati burger YB.
"Daging yang dimakan terasa lebih segar dan tidak berminyak. Lebih utama, rupa dan rasanya membangkitkan selera," katanya.
sumber dari http://www.kosmo.com.my/
2 ulasan:
bapak besar giler burger ni... kalau trn shah alam nanti nak gi carilah...
Makan sebulan xabis ni..
Catat Ulasan