Khamis, 18 Oktober 2012

Nak Tahu Bagaimana Cara Buat Suami Ringan Tulang

 
Sebagai isteri dan ibu tentunya penat melakukan kerja rumah sendirian. Mana hendak memasak, melayan anak, membasuh, mengemas dan bermacam perkara lagi. Jadi menyakitkan hati saat bertungkus-lumus membuat kerja rumah tangga suami pula duduk bersandar di kerusi sambil membaca surat khabar tanpa sedikit pun perasaan bersalah.
Sudahlah di pejabat terbeban dengan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan majikan, di rumah pun situasinya hampir sama. Biasanya, bila tekanan mengusai fikiran mulalah mulut mengeluarkan bebelan. Saat itu barulah suami angkat punggung untuk membantu mana yang perlu.
Tetapi untuk hari itu sahaja kerana esok mahupun lusa, cara yang sama juga akan digunakan bagi membuatkan pasangan jadi ringan tulang. Buntu memikirkan cara yang paling baik untuk mengajak suami berkongsi melakukan kerja rumah, bagi para isteri pelajari empat tip berikut.


1. Pujuk Dengan Suara Yang Manja
Senjata yang paling berkesan untuk menakluk hati lelaki adalah dengan sikap lemah lembut selain suara yang manja dan menggoda. Percayalah bahawa suami mudah ‘cair’ apabila anda meminta pertolongan darinya menggunakan ciri-ciri tadi.
Mungkin ajakan pertama tidak berjaya tetapi cubalah untuk kali yang seterusnya. Setelah hatinya bersedia untuk membantu maka jangan sekali-sekali keluarkan arahan untuk lakukan itu dan ini. Ingatlah bahawa cara psikologi lebih berkesan untuk memujuknya menjadi lebih rajin.
Mulakan dengan pujian kemudian ajukan persoalan sama ada boleh atau tidak dia melakukan kerja berkenaan. Yakinlah bahawa itu sudah cukup untuk membuatkan dirinya selesa dan membantu dengan hati yang terbuka.

2. Hargai Bantuan Yang Dihulurkan
Apabila kita meminta bantuan dari orang lain maka jangan sekali-sekali mengharapkan kerja yang dilakukan itu setanding dengan kerja yang kita lakukan. Begitu juga dengan kerja rumah yang suami lakukan. Pastinya tidak sehebat atau serajin anda tetapi jangan sekali-sekali luahkan apa yang anda rasa. Sekalipun kerjanya hanya membasuh kuali tetapi berilah penghargaan seperti ucapan terima kasih. Sebenarnya, lelaki tidak malas tetapi masih terikat dengan fahaman berbentuk ortodoks.
Menjadi kelaziman buat dirinya bahawa wanita menyediakan makanan, membasuh pakaian mahupun mengurus anak-anak. Lelaki pula hanya menanti di meja makan dengan menu masakan yang digemari dan bangun apabila perut kekenyangan.
Sikap seperti inilah yang membuatkan mereka ‘berat tulang’ setelah melangkah ke alam rumah tangga. Sekiranya pasangan anda bersikap seperti ini maka banyakkan bersabar dan latihlah dia melakukan kerja rumah sedikit demi sedikit. Insya-Allah berjaya akhirnya.

3. Gunakan Anak-anak
Ada ketikanya, kita boleh gunakan anak-anak untuk menjadi ‘suis’ kepada suami membuat kerja rumah. Sekiranya permintaan anda tidak dihiraukan maka anak-anak boleh mainkan peranan.
Mintalah pertolongan daripada mereka untuk memujuk suami lakukannya. Sebagai contoh, “Ayah, ibu minta tolong betulkan paip di dapur. Airnya meleleh sahaja. Kalau ibu boleh buat, sudah lama dia lakukan. Lagipun ayah kan hebat?”
Percayalah bahawa kata-kata yang keluar dari mulut anak ini akan terkesan di hati suami. Perasaan bersalah dan malu kepada diri sendiri membuatkan mereka segera melakukan kerja yang diminta sekalipun malas masih lagi berbaki

4.  Pastikan suami tidak terlalu penatSuami adalah ketua keluarga. Dia punya tanggungjawap yang besar untuk menyara keluarga, terutama sekali jika isteri tidak bekerja. Dari awal pagi hingga petang bahkan sampai lewat malam suami mungkin menghabiskan harinya dengan bekerja. Jadi jika anda ingin meminta bantuannya melakukan kerja rumah, anda harus pastikan dia tidak dalam keadaan terlalu penat. Janganlah meminta suami menyidai kain, sebaik saja dia baru pulang dari kerja. Kalau itu yang anda lakukan, bererti anda seorang isteri yang tidak peka dan kurang menghargai peranan suami sebagai pencari nafkah.

5.  Berikan alasan yang logikLelaki adalah manusia yang mementingkan akal fikiran yang logik. Oleh itu, ketepikan emosi anda seperti marah, merajuk, menarik muka, sedih dan sebagainya ketika meminta bantuan daripada suami. Beritahu suami alasan-alasan logik kenapa anda perlu bantuannya dalam menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Contoh alasan logik yang boleh dikemukakan adalan anda terlampau penat, kerja terlalu berat untuk wanita atau ada beberapa tugas di rumah yang menurut anda lebih elok hasilnya jika dilakukan oleh suami.

6.  Tawarkan suami melakukan tugas ‘berat’Tugas itu meliputi mencuci kereta, membersihkan bilik air, memotong rumput, membersihkan longkang/saluran air, membaiki barang rosak (seperti sinki dll) dan pekerjaan-pekerjaan lain yang memerlukan tenaga ekstra. Biasanya lelaki cukup suka wanita menghargai tenaganya. Ia akan membuatkan mereka berasa ‘macho’.

Selain itu, tugas yang memerlukan kepakaran lelaki juga dapat dialihkan kepada mereka, seperti membersihkan peti ais, menyapu sawang, mencuci bilah kipas angin, menukar mentol, dan sebagainya. Terangkan bahawa kalau anda yang membuatnya, anda mungkin tersalah langkah kerana lelaki umumnya lebih faham tentang elektrik dan barang elektronik.

7.  Sentuh perasaannyaSuami anda pasti menyintai anda dan ingin anda bahagia. Cubalah ‘merayu’ suami dengan menyentuh perasaannya. Tapi caranya bukan dengan menyatakan, “Kalau abang sayangkan saya, abang mesti tolong saya buat kerja di dapur” atau menyindir, “Abang sebelum saya bising, baik abang tolong saya”.

Seharusnya anda perlu mempastikan suami faham kenapa anda memerlukan bantuan daripadanya. Misalnya, setelah seharian anda membersihkan seluruh rumah dan memasak di hujung minggu, katakan bahawa anda sedikit penat untuk membereskan meja makan dan pinggan mangkuk setelah makan malam. Kalau caranya tepat dan menyentuh hatinya yang peka, anda akan dapat membuatkan suami terus saja menawarkan diri membantu anda kerana dia menyintai anda.

8.  Rayu dengan hadiahCara ini kadang-kadang berjaya. Hadiah yang boleh anda tawarkan misalnya memasak masakan kesukaannya, melakukan sesuatu yang selama ini anda hindari tapi sebenarnya diinginkan oleh suami, melakukan hobi bersama-sama, hinggalah ‘servis’ ekstra di ranjang malam nanti.

9.  Jangan mendesak atau mengarahSuami memang pantang memerima arahan isteri. Seeloknya mulakan dengan perkataan ‘tolong’ dan ucapan ndalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Pasti suami tidak akan menolak permintaan anda.

10.  Masa yang sesuaiMeminta suami membantu urusan rumahtangga juga memerlukan masa yang tepat. Paling baik adalah ketika suami sedang bersantai dan moodnya elok. Misalnya ketika sedang menonton televisyen, makan bersama atau sebelum tidur.

11.   Ucapkan terima kasihUcapkan terima kasih jika suami mahu membantu anda. Biasanya motivasi ini akan membuatkan suami anda cukup bahagia kerana dapat meringankan beban isteri tercinta. Selain ucapan terima kasih, berikan juga pujian setiap kali suami selesai membantu anda. Dua kalimat ini wajib diucapkan agar dia lebih senang membantu anda di kemudian hari.

Buatlah komitmen dalam hati untuk tidak memulakan pertengkaran dan tidak terpancing dengan emosi. Hindari juga daripada mengomel, membebel, membentak, menyindir dan sebagainya kerana ini akan membuatkan suami semakin keras kepala dan langsung enggan membantu.

Tugas menguruskan rumahtangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggugnjawap isteri sahaja. Sebaik-baiknya, lakukanlah bersama-sama, insya Allah akan bertambah semarak cinta anda.

Tiada ulasan: