Selasa, 27 September 2011

CARA KESAN REMAJA HAMIL

Cara kesan remaja hamil Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my
2011/09/27

Ibu bapa perlu peka, elak kes buang bayi berleluasa

WANITA hamil begitu mudah dikenal pasti dari segi bentuk badan dan cara mereka berjalan apatah lagi wanita hamil sering mengalami alahan, membuktikan ada 'isi dalam perutnya'. Gejala seperti muntah-muntah, loya, pening, rasa teringin makan sesuatu, tidak tahan pada setengah bau atau makanan, sering berlaku pada wanita mengandung pada peringkat awal.
Perbezaan fizikal susuk tubuh berlaku ketika hamil. Buah dada dan puting kian membesar selain kulit sesetengah wanita menjadi gelap, terutama pada bahagian muka serta sering terasa hendak kencing, timbul jerawat dan menjadi letih.
Remaja mengandung lebih cergas dan bertenaga jika dibandingkan dengan wanita dewasa. Selepas bersalin, mereka lebih cepat kembali kepada keadaan asal sebelum mengandung. - Dr Ani Amelia Zainuddin, Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Unit Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Obstetrik
Selain itu, wanita hamil juga ada kalanya mengalami keputihan pada faraj yang lebih daripada biasa selain tidak datang haid. Emosi menjadi tidak menentu, sering merajuk dan mudah melenting.

Semua tanda ini agak ketara dan hampir sesiapa saja boleh mengesan atau mengenal pasti jika seseorang wanita itu hamil. Ini juga yang menyebabkan banyak pihak musykil bagaimana ramai ibu bapa, keluarga, guru dan masyarakat sekeliling tidak dapat `mengesan’ apabila remaja, termasuk di bawah umur, hamil.

Baru-baru ini, seorang remaja berusia 14 tahun dilaporkan dirogol teman lelakinya mengadu sakit pinggang kepada keluarga. Pemeriksaan yang dilakukan di klinik mengesahkan kesakitan yang dialami remaja itu adalah disebabkan ingin bersalin.

Laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 juga menganggarkan 2.2 peratus daripada 8.7 juta remaja di Malaysia atau lebih kurang 190,000 orang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin sehingga ada yang mengandung sehingga menyebabkan kes pembuangan bayi.
Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Unit Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr Ani Amelia Zainuddin menjawab dan berkongsi maklumat mengenai isu wanita muda hamil.

Memulakan Klinik Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja di PPUKM sejak 2008 bersama Profesor Madya Dr Nur Azurah Abdul Ghani, beliau mengakui 20 peratus mereka yang dirujuk ke klinik itu adalah remaja hamil luar nikah dan ibu bapa hanya mengetahui keadaan itu apabila kehamilan melebihi empat bulan.


Mengapa ibu bapa sukar mengesan anak remaja mereka mengandung?

  • Anak remaja ini sendiri tidak sedar yang mereka mengandung. Mungkin juga mereka mengandaikan perkara itu berlaku tetapi menafikannya. Dalam kebanyakan kes mereka berkelakuan seperti biasa, tambah pula jika tidak begitu rapat dengan ibu bapa dan tidak selalu berada di rumah. Oleh itu, kehamilan mereka tidak dapat dikesan dan disedari ibu bapa dari awal lagi.

  • Ada remaja yang badan mereka sedikit besar atau berisi. Walaupun sudah dalam bulan ke empat atau lebih kehamilan, dalam kebanyakan kes, badan remaja tidak begitu menampakkan beza dengan keadaannya sebelum ini.

  • Gejala seperti muntah-muntah dan loya tidak sama sekali dikaitkan dengan kemungkinan anak hamil, lebih-lebih lagi apabila anak remaja itu dianggap sebagai anak yang baik dalam keluarga. Hubungan seks luar nikah adalah sesuatu yang dianggap ibu bapa perkara terakhir dilakukan anak. Ramai ibu bapa beranggapan masalah kesihatan itu disebabkan penyakit lain seperti gastrik atau tersalah makan dan sebagainya.

  • Ada juga remaja yang tahu mereka mengandung tetapi takut, berusaha menutup rahsia itu dengan memakai pakaian besar dan labuh supaya boleh melindungi keadaan perut yang kian membesar.

  • Ramai remaja yang kitaran haidnya tidak teratur dan jarang datang haid disebabkan paksi aliran ‘hormone hypothalamus-pituitari-ovari’ mereka tidak matang dengan lengkap lagi. Oleh itu, apabila mereka tidak mengalami haid, mereka tidak menyangka ia disebabkan kehamilan.

    Bagaimana untuk memastikan jika anak remaja mengandung? Perbezaan wanita dewasa hamil dan remaja hamil?

    Tiada perbezaan ketara antara wanita dewasa dan remaja mengandung dari segi tanda kehamilan. Ada yang mengalami alah teruk dan ada juga yang langsung tidak mengalami alah. Cuma mungkin pada usia muda, mereka tidak banyak berfikir dan berasa runsing kerana tidak ada tanggungjawab lain.

    Remaja mengandung selalunya lebih cergas dan bertenaga jika dibandingkan dengan wanita dewasa yang lebih tua. Jarang mereka berasa letih. Selepas bersalin, mereka lebih cepat kembali kepada keadaan asal sebelum mengandung.

    Dari segi emosi pula, ada remaja yang murung dan suka berseorangan jika mereka berada dalam keadaan ketakutan dengan kehamilan itu. Mereka perlukan banyak sokongan dan bimbingan ibu bapa, keluarga dan doktor. Ramai yang memerlukan khidmat kaunseling. Jangan abaikan keperluan ini kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada remaja mengandung, anak yang dilahirkan serta keluarganya.

    Ibu bapa perlu memikirkan yang anak mereka mengandung jika anak mereka menunjukkan tanda biasa dialami wanita hamil. Selain itu, pada peringkat pertengahan kehamilan pula, perut kian membesar dan terdapat perubahan pada warna kulit di bahagian perut, kulit renggang di perut dan buah dada.

    Lebih jelas ialah sakit pada di bahagian ari-ari atau di bahagian bawah perut sebelah kanan atau kiri, sakit belakang mula dirasai dan ia menjadi lebih kuat apabila usia kehamilan semakin lanjut.

    Bagi memastikan sama anak remaja mengandung atau tidak, boleh belikan alat mengesan mengandung dari farmasi atau bawa anak berjumpa doktor. Remaja mengandung lebih tinggi risikonya berbanding wanita dewasa dan disyorkan supaya mendapatkan rawatan antenatal seawal mungkin serta sepanjang kehamilan mereka. Pastikan juga bersalin di hospital dan bukan di rumah.

    Cara terbaik menghadapi anak remaja yang hamil

    Jangan terus memarahi anak jika mendapat 'berita buruk' itu. Tanya mereka mengenai kesihatan mereka. Berlembut dulu kerana remaja memerlukan bimbingan yang betul tak kira dalam apa juga situasi, bukan cemuhan dan keganasan. Ramai remaja mengandung yang berada di bawah jagaan klinik hamil bukan disebabkan mereka ‘jahat’ sebaliknya menjadi mangsa, dirogol, ditipu, diperdaya, kadang kala oleh ahli keluarga sendiri menyebabkan mereka turut mengalami masalah psikologi.

    Walaupun badan mereka seperti wanita dewasa, pemikiran dan perkembangan psikologi mereka masih belum matang. Bila mereka mengandung, ketika itulah mereka memerlukan bimbingan, sokongan dan kesabaran supaya masalah itu bijak diatasi.

  • Bertenang

  • Minta anak menceritakan keadaan sebenar

  • Jika hubungan dengan anak tidak rapat, dapatkan bantuan teman rapat untuk anak menerangkan perkara yang berlaku.

  • Bawa berjumpa doktor untuk mengesahkan kehamilan.

  • Buat laporan polis.

  • Mendapatkan bantuan dan rujukan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika perlu.

  • Jika remaja itu sudah melakukan kesalahan dari segi agama yang menyebabkannya hamil, ajaklah dia bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar dengan cara lemah lembut dan kasih sayang.

  • Beri kata-kata positif dan semangat supaya mereka tidak mengalami masalah kemurungan.

    INFO

  • Remaja adalah mereka yang berusia dari 10 tahun hingga 24 tahun.

  • Remaja muda berusia dari 13 tahun hingga 19 tahun.

  • Keadaan fizikal remaja yang berusia 11 tahun hingga 14 tahun seperti tulang pinggulnya yang belum bersedia untuk bersalin boleh mendatangkan risiko ketika proses kelahiran. Apabila ia terjadi, pembedahan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan bayi dan ibu.

  • Wanita digalakkan melahirkan anak dari usia 21 tahun hingga 35 tahun.

  • Bersalin dalam lingkungan usia 36 tahun hingga 45 tahun dianggap berisiko tinggi.

  • Apabila mencapai usia 45 tahun, wanita dinasihatkan tidak bersalin lagi kerana risikonya begitu tinggi.

    Risiko kelahiran pada usia remaja

  • Keadaan sakit mahu bersalin pramatang atau proses kelahiran yang lebih cepat daripada waktu yang sepatutnya

  • Anemia (kekurangan zat besi dalam darah)

  • Penyakit tekanan darah tinggi

  • Preklamsia/preeclampsia.

    Tanda penyakit ini ialah bengkak pada muka, kaki dan badan, rasa pening dan muntah-muntah, penglihatannya kabur dan sakit di ulu hati. Doktor akan mengenal pasti penyakit itu jika tekanan darah tinggi dan boleh juga menyebabkan kehadiran protein dalam air kencing. Penyakit ini amat berbahaya dan memerlukan rawatan segera untuk menstabilkan dan menyelamatkan ibu serta anak dalam kandungan.