TABAH...Muhamad Hairuman kini menggunakan kerusi roda.
SLIM RIVER: Biarpun dugaan dihadapinya maha hebat apabila kedua-dua tangan dan kaki kiri dipotong akibat terkena renjatan elektrik November tahun lalu, Muhamad Hairuman Miskon ternyata anak muda berjiwa kental apabila tetap berkeyakinan tinggi untuk meneruskan kehidupannya.
“Saya tidak menganggap dunia sudah berakhir, sebaliknya berasa diri bertuah kerana masih ‘dipinjamkan’ Allah sebelah kaki lagi untuk meneruskan kehidupan.
“Saya juga tidak rasa bernasib malang kerana sedar ramai lagi insan di dunia ini nasib mereka lebih malang,” katanya.
Mengimbas tragedi yang menimpanya, anak muda berusia 23 tahun itu terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang, Selangor untuk mencari wang bagi membiayai persekolahan adiknya.
Akibat tragedi yang berlaku pada 20 November tahun lalu itu, doktor mengesahkan kedua-dua tangan serta kaki kirinya terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman ke anggota badan lain dan anak yatim piatu itu juga terlantar hampir tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur.
Muhamad Hairuman, anak kesembilan daripada 10 beradik kini tinggal bersama kakaknya, Maryuni, 32, di Klant Halt 2 di sini dan seperti umat Islam lain, dia memanfaatkan sepenuhnya kehadiran Ramadan untuk menambah amal ibadah serta mendekatkan diri dengan Allah.
“Walaupun sukar, Alhamdulillah saya mampu bersolat Tarawih dan terima kasih saya kepada jemaah masjid di sini yang menyediakan ruang khas.
“Selain itu, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan yang pasti, tidak meninggalkan rawatan fisioterapi pada setiap hari sambil dibantu kakak,” katanya.
Muhamad Hairuman berkata, ketika ini pergerakannya banyak bergantung kepada kerusi roda, namun dia tetap memasang azam dan keyakinan tinggi untuk berjalan seperti biasa pada masa depan.
“Sekarang mungkin saya berjalan terhincut-hincut dengan sebelah kaki, tapi doktor kata, saya boleh pasang kaki palsu pada masa depan dan jika itu dilakukan, saya yakin saya boleh berjalan seperti biasa semula,” katanya.
Malah, bekas pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Selangor itu berkata, dia kini giat melakukan rawatan fisioterapi di rumah bagi mengimbangkan tubuhnya berdiri dengan kaki kanan supaya dapat menyesuaikan diri dengan kaki palsu yang bakal digunakan kelak.
Muhamad Hairuman berkata, dia juga bersyukur kerana dikurniakan kakak dan abang ipar yang bekerja keras untuk memastikan dirinya mendapat rawatan dan pulih seperti sedia kala.
“Selepas ibu dan ayah meninggal, kakak dan abang banyak membantu saya untuk menguruskan diri. Saya tahu mereka ada tanggungjawab untuk keluarga, tapi saya tidak pernah rasa terpinggir apabila duduk serumah dengan mereka.
“Saya gembira apabila kakak tidak pernah lupa sediakan saya susu kacang soya ketika sahur sebab dia tahu minuman itu baik untuk proses pemulihan saya. Walaupun saya tak dapat berbakti kepada kakak dan abang, saya sentiasa doakan hidup mereka diberkati,” katanya.
Sementara itu, Maryuni berkata, dia dan suami, Ahmad Faidz Hafidz, 38, kagum dengan ketabahan dan kegigihan adiknya dan semangat itu yang membuatkan dia semakin tabah untuk menjaga Muhamad Hairuman. “Untuk kulitnya yang terbakar pulih sepenuhnya mengambil masa agak lama, tapi saya lihat dia bersabar dengan keadaannya dan itu yang buat saya terharu serta bersemangat,” katanya. Menurutnya, keadaan kulit Muhamad Hairuman belum pulih dan sentiasa berair kerana sistem badannya agak lambat untuk memberi tindak balas positif.
“Kulit yang diambil di paha kiri untuk ditampal di bahagian yang tiada kulit belum sembuh sepenuhnya. Kadang-kadang saya lihat dia menahan gatal di bahagian badan yang ditampal, tapi dia tak pernah merungut apatah lagi meminta yang bukan-bukan,” katanya.
Pada masa sama, Maryuni mengucapkan terima kasih dia atas keprihatinan pelbagai pihak yang sentiasa memberi bantuan serta sokongan kepada Muhamad Hairuman.
“Alhamdulillah, bantuan yang kami terima tak pernah putus, malah kami baru saja terima sumbangan baju dan duit raya daripada seorang insan prihatin dari Johor,” katanya.
1 ulasan:
respect tul ngan hairuman ni... tak menjadi kan kecacatan sbg batu penghalang utk meneruskan hidup... bkn senang nk dpt org yg kuat smngt mcm ni...
Catat Ulasan