Isnin, 19 September 2011
Teknik memberi arahan kepada anak
Sebagai ibu bapa, agak sulit menangani anak-anak yang susah mendengar kata. Lazimnya, apa yang diarahkan sukar dilaksanakan mengikut kemahuan ibu bapa. Malah sikap bertangguh atau membiarkan arahan yang diberi begitu sahaja menjadi amalan segelintir anak-anak ini.
Tentunya senario yang berlaku memeningkan kepala malah jika tidak diatasi segera mungkin menjadi nanah yang memakan kebahagiaan sesebuah keluarga. Usah gusar kerana masih ada jalan penyelesaiannya.
Berfikirlah Sebelum Bercakap
Katakan anda berjanji untuk bersiar-siar dengan anak tetapi hakikatnya anda telah lewat lima belas minit kerana bersiap. Tidak cukup dengan itu, anda minta bantuannya supaya mengemas ruang tamu serta bilik yang sedikit bersepah. Sekiranya tidak diselesaikan maka aktiviti yang dirancang akan dibatalkan sama sekali. Situasi ini tentunya mewujudkan rasa tidak puas hati anak terhadap anda sekali gus melahirkan anak-anak yang berfikiran ‘selective hearing’. Sebaiknya, ambil masa satu kedua minit untuk berfikir sebelum arahan dikeluarkan dan jangan lupa pastikan arahan tersebut jelas dan mudah difahami oleh anak-anak ini.
Belajar Kawal Emosi
Secara logiknya, ibu bapa yang marah akan meninggikan suara. Akibatnya, si anak akan berikan sepenuh perhatian terhadap apa yang anda katakan. Hakikatnya bukan itu yang terjadi. Anak-anak mungkin diam ketika anda sedang beremosi tetapi mereka kurang mendengar butir bicara yang ada luahkan ketika itu. Lazimnya, anak-anak ini akan beri tumpuan kepada emosi dan bukannya perkataan yang diucapkan. Oleh itu, berbicaralah dengan tenang, jelas dan khusus bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Lantaran itu, berfikirlah sebelum bertindak dan tentukan apa yang anda inginkan. Jadikan kata-kata atau arahan yang anda berikan sebagai penyampaian yang berkesan buat mereka.
Dekati Anak Untuk Respon Yang Lebih
Memang mudah untuk menjerit dari dua ruang yang jauh di dalam rumah, tetapi ia kurang efektif untuk dipraktikkan. Si anak akan berikan respon yang lebih baik sekiranya ibu bapa datang bersemuka dengan mereka. Apabila anak-anak ini berada di hadapan mata, anda dapat lihat adakah si anak beri perhatian atau tidak terhadap apa yang dikatakan. Tidak dinafikan bersemuka dengan anak menuntut waktu yang lebih tetapi bila dilakukan berulang kali, hasilnya pasti berbaloi.
Berusaha Untuk Berubah
Membaca artikel ini tidak mampu mengubah keadaan sekiranya anda tidak bertindak dan berusaha untuk mengubahnya. Ingatkan diri sendiri tentang keinginan dan tujuan sebenar selaian memberi masa kepada diri untuk menguasai tips-tips yang telah diberi. Bukan mudah menjadi ibu bapa yang baik tetapi dengan
inisiatif yang telah dipraktikkan, insyaallah segala yang dirancang mampu berjalan dengan lancar. Yakin dan percayalah pada kebolehan diri anda bagi melahirkan anak-anak yang berjaya.
sumber dari Mingguan Wanita
Labels:
Teknik beri arahan kepada anak
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan